DAMSYIK – Seorang bayi yang dilahirkan di bawah runtuhan bangunan ketika gempa bumi melanda Syria dipelihara oleh satu-satunya ahli keluarga terdekat yang terselamat, iaitu ibu dan bapa saudaranya, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Beribu-ribu orang dari seluruh dunia menawarkan diri untuk menjaga bayi tersebut apabila dia diselamatkan dalam keadaan tali pusat masih bersambung dengan ibunya.
Bayi berkenaan dibenarkan keluar dari hospital selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan ibu saudaranya mempunyai pertalian darah dengannya. Doktor berkata, bayi itu berada dalam keadaan sihat.
“Dia ialah salah seorang anak saya sekarang. Saya tidak akan membezakan antara dia dan anak-anaka saya,” kata bapa saudaranya, Khalil al-Suwadi.
Bayi berkenaan dinamakan sempena nama ibu kandungnya, Afraa. Sejurus selepas diselamatkan, anggota penyelamat menamakannya ‘Aya’ yang bermaksud keajaiban dalam bahasa Arab.
Video Afraa diselamatkan selepas gempa bumi tular di media sosial baru-baru ini. Rakaman menunjukkan seorang lelaki berlari keluar dari serpihan bangunan sambil membawa Afraa yang diselaputi debu dalam pelukannya.
Afraa dilaporkan berada di bawah runtuhan bangunan selama lebih 10 jam. Doktor berkata, dia tiba di hospital dalam keadaan mempunyai lebam dan luka di seluruh badan.
“Bayi ini sangat bermakna untuk kami kerana tiada sesiapa lagi dalam keluarganya yang tinggal selainnya. Dia akan menjadi tanda kenangan untuk saya, isteri (ibu saudara kandung) dan untuk semua saudara kami di kampung halaman ibu dan bapanya,” kata Khalil.
Khalil yang hadir semasa Afraa diselamatkan bimbang bayi itu diculik ketika dia dirawat di hospital selama dua minggu berikutan terlalu ramai orang ingin menjaganya.
“Tempat terbaik untuk Afraa adalah bersama keluarga walaupun keadaan mereka juga sukar,” katanya. – Agensi