fbpx

EPL: Saham United jatuh, Glazer ubah pendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KELUARGA Glazer dilaporkan cuba menukar pendirian mereka untuk tidak melepaskan pegangan United selepas diberikan tawaran sokongan kewangan. – AFP

LONDON – Nilai saham Manchester United dilaporkan turun sehingga sembilan peratus kelmarin selepas terdapat khabar angin bahawa pemilik kelab itu, Keluarga Glazer menukar pendirian untuk tidak menjual pemilikan mereka.

Nilai saham kelab itu dibuka pada harga £21.08 (RM113.40) di Bursa Saham New York kelmarin sebelum nilainya menurun sehingga £20.02 (RM107.70) kira-kira 30 minit selepas didagangkan.

Kira-kira pukul 11 pagi waktu New York, nilai berkenaan terus jatuh menjadi £19.88 (RM106.94) sebelum ia terus merudum di bawah paras harga £19.80 (RM106.51).

Keluarga Glazer sebelum ini mengumumkan kesediaan menjual United pada harga £6 bilion (RM32.28 bilion) yang menyaksikan beberapa proposal pembelia­n telah dibuat sebelum tarikh tutup yang ditetapkan iaitu esok.

Dua bilionair, Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani dan Sir Jim Ratcliffe dilaporkan menjadi dua individu yang bersaing sengit untuk mendapatkan pemilikan kelab berkenaan.

Perkembangan itu menyaksikan saham United naik mendadak sebelum ia menjadi sebaliknya ekoran wujud khabar angin mengenai Keluarga Glazer yang mahu mengekalkan pe­nguasaan mereka di kelab itu.

Laporan menyebut bahawa Keluarga Glazer telah diberikan tawaran sokongan kewangan daripada Firma Pelaburan ­Elliott Management untuk mereka ­terus kekal sebagai pemilik kelab ber­kenaan.

Legenda United, Gary Neville juga melahirkan rasa bimbang dan hairan dengan tindakan pemilik kelab itu yang mengumumkan kenaikan harga tiket perlawanan sebanyak lima peratus buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.

Menurutnya, tindakan itu sepatutnya tidak dilakukan sekiranya Keluarga Glazer benar-benar mahu melepaskan pegangannya di kelab berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI