KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji semula keperluan untuk menaikkan tarif air domestik sebagai usaha menangani isu pembaziran air yang berlaku ketika ini.
Ini kerana kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, kadar tarif air yang terlalu rendah menjadi salah satu punca rakyat di negara ini tidak menghargai sumber asas itu sehingga mengakibatkan penggunaan yang berlebihan.
Jelas beliau, penggunaan air di Malaysia dikategorikan sebagai sangat tinggi dan sukar untuk diubah kerana sudah menjadi tabiat masyarakat.
“Ya penggunaan air kita memang sangat-sangat tinggi. Itu satu perkara yang mengambil masa sebab ia soal habit dan kebiasaan kita.
“Mahu tidak mahu ini keputusan yang telah diambil dan dimaklumkan oleh kerajaan sebelum ini juga iaitu tentang soal tarif air,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang mahu tahu apakah usaha yang boleh dilakukan kementerian itu yang boleh mendidik rakyat mengurangkan penggunaan air tetapi tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Tambah Nik Nazmi, bila tarif air terlalu rendah, ia memberi tekanan kepada syarikat air dan memperlihatkan sikap masyarakat kita yang tidak menghargai air.
“Tahun lepas telah diluluskan di bawah kerajaan sebelum ini untuk dinaikkan dulu bukan domestik tarif. Kemudian peringkat seterusnya (kerajaan) mengkaji semula tarif-tarif domestik. Itu secara jujur perkara-perkara yang kita kena ambil maklum untuk atasi masalah ini,” katanya.
Terdahulu, Jimmy Puah berkata statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menunjukkan seorang rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 201 liter air setiap hari, yang mana penggunaan tersebut adalah melebihi 20 peratus daripada cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, data tersebut juga menunjukkan kadar penggunaan air di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding negara-negara jiran seperti Thailand yang menggunakan 193 liter sehari, manakala Singapura (151 liter).-KOSMO! ONLINE