KUALA LUMPUR – Kerajaan Singapura bersetuju untuk menghentikan sementara kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan Batu Puteh susulan bantahan berterusan yang telah dibuat Malaysia.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia telah menegaskan pendirian bahawa Singapura tidak berhak dan tidak wajar meneruskan perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan sehingga kedua-dua negara memuktamadkan sempadan maritim di perairan tersebut.
Jelas beliau, selain daripada pembatasan sempadan maritim, rundingan bagi membincangkan pelan pembangunan sepihak Singapura di Batu Puteh ini juga telah dimulakan oleh kedua-dua negara.
“Kementerian Luar Negeri bersama-sama agensi-agensi teras Kerajaan yang berkaitan sedang meneliti perkembangan semasa dan mengkaji tindakan-tindakan yang boleh diambil dari pelbagai aspek, termasuk berdasarkan undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik dua hala.
“Sehubungan itu, Malaysia sebagai negara yang bertanggungjawab dan berpendirian, kekal dengan prinsip bahawa perkara ini perlu dikendalikan secara diplomatik dengan niat baik (good faith),” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Mohamad, Malaysia juga berharap supaya Singapura mengambil tindakan yang sama untuk menghormati dan tidak melaksanakan sebarang keputusan yang mencerminkan niat buruk (bad faith) yang bertentangan dengan semangat dan proses rundingan yang sedang berlangsung di antara kedua-dua negara.
“Kementerian Luar Negeri akan terus mengetuai rundingan dengan Singapura dan berusaha agar momentum positif rundingan diteruskan, bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE