KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan isu kekurangan minyak masak paket bersubsidi disifatkan sebagai kes terpencil dan tidak disifatkan sebagai krisis.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu tersebut berlaku hanya di tempat-tempat tertentu, namun perkara itu telah ditangani segera oleh kementerian.
“Ia tidak lagi sehingga sampai ke tahap krisis, kerana sekiranya ada kes-kes di satu tempat pada masa-masa tertentu, maka KPDN dengan cepat mengarahkan pegawai memastikan kenapa ia berlaku.
“Ada dua ‘sebab’ (kenapa ia berlaku) pertamanya peniaga kedai runcit terpaksa buat kawalan dalaman, pagi mereka buka satu kotak, tengah hari dan petang satu kotak, kerana jika buka semua pagi, peniaga kecil akan membelinya sampai habis. Kita tidak boleh terus saman atau tangkap mereka (peniaga).
“Keduanya, kebanyakan peniaga luar bandar mereka tiada sistem e-kos sebab itu kementerian akan mudah cara dan pegawai terlibat sedang melakukan sesi libat urus dengan peniaga supaya isu e-kos tidak menjadi penghalang bekalan lambat sampai kepada penduduk di pedalaman,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkenaan komitmen kerajaan untuk bertindak kepada peniaga yang menjual minyak masak paket kepada restoran besar dan hotel lima bintang.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, kuota sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak paket setiap bulan yang dibekalkan ketika mencukupi untuk kira-kira 8.6 juta isi rumah kategori B40.-KOSMO! ONLINE