KUALA LUMPUR – DFI GROUP (DFI) telah memeterai perjanjian dengan syarikat tempatan yang diketuai ahli perniagaan, Datuk Andrew Lim untuk memperoleh kesemua perniagaan makanan DFI di Malaysia termasuk jenama ikonik Giant.
Lim adalah Timbalan Pengerusi Kumpulan SOGO Department Store Sdn. Bhd. dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan GAMA yang memiliki dan mengendalikan jenama ikonik GAMA Supermarket & Departmental Store di Pulau Pinang.
Melalui pengambilalihan yang dijangka selesai menjelang awal Mac ini akan membolehkan syarikat tempatan ini berkongsi kepercayaan yang sama seperti DFI dalam memberi fokus kepada menyampaikan kualiti, perkhidmatan serta nilai hebat kepada pelanggan.
Ia juga akan mengambil alih 2,500 kakitangan sedia adanya.
Mengulas mengenai pemilikan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif DFI Retail Group Asia Tenggara, Chris Bush berkata pihaknya berkeyakinan bahawa Lim akan memberi manfaat serta perubahan positif kepada pelanggan dan kakitangan Giant, Cold Storage dan Mercato.
Menurut beliau, perkembangan positif ini sudah pasti akan menjana pertumbuhan masa depan berdasarkan pengetahuan pasaran yang mendalam, pelaburan jenama dan kekuatan daya saing untuk membentuk landasan kukuh.
“Kami amat gembira apabila dapat memastikan perolehan perniagaan makanan ini diberi kepada sebuah syarikat tempatan yang dihormati serta berjaya dengan mengekalkan kakitangan berdedikasi syarikat.
“Ia sekali gus menyediakan peluang pertumbuhan kerjaya untuk kakitangan dan meningkatkan daya saing, perkhidmatan serta memberi nilai yang lebih besar untuk pelanggan di Malaysia.
“Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap kejayaan masa depan perniagaan makanan di bawah kepimpinan baharu,” jelas beliau.
Tambah Bush, DFI kekal komited terhadap perniagaan runcit di Malaysia dengan mempertajamkan fokus strategik kepada perniagaan kesihatan dan kecantikan yang kini berkembang pesat.
Kumpulan itu akan terus memiliki dan mengendalikan sepenuhnya kedai Guardian Health and Beauty yang menyandang tempat pertama dalam undian oleh pelanggan Malaysia pada 2022.
Bagi perancangan masa depan, DFI menyasarkan pertumbuhan pesat Guardian Malaysia dengan jangkaan penambahan rangkaian kedai (kini melebihi 500) serta penambahan ratusan pekerjaan dalam tempoh dua tahun ini.
“Peralihan ini akan membolehkan DFI Group menumpukan perhatian eksklusif kepada pengembangan perniagaan Guardian di Malaysia. Kami teruja dengan peluang untuk memajukan Guardian dengan lebih pesat disokong dengan penambahan cawangan yang ketara, penambahbaikan kedai dan peningkatan tawaran kepada pelanggan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE