MANCHESTER – Walaupun mengakui kualiti yang ada pada RB Leipzig, penjaga gol Manchester City, Ederson merasakan pasukannya sudah berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Red Bull Arena, awal pagi esok.
Biarpun sedar bahawa City memiliki kualiti yang hebat, Ederson memberi peringatan buat The Citizens bahawa mereka harus belajar daripada pengalaman musim lalu dan seluruh pasukan perlu lebih bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Musim lalu kami pernah menentang mereka dalam saingan peringkat kumpulan. Mereka adalah pasukan yang bagus dan memiliki ramai pemain berkualiti, jadi sudah pasti kami kena lebih bersedia
“Kami akan bermain di tempat mereka dan saya harap City mampu mempamerkan aksi terbaik. Ia bukan tugas mudah kerana pertandingan ini sentiasa memberikan anda kesukaran. Saya dapat rasakan cabaran menanti kami dalam perlawanan ini.
“Kami perlu dapatkan keputusan baik untuk dibawa ke perlawanan selepas ini di tempat sendiri,” katanya.
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam Kumpulan A musim lalu seimbang apabila City menang 6-3 pada aksi pertama, Leipzig bangkit untuk catatkan kemenangan 2-1 pada perlawanan kedua.
Dalam masa sama, Ederson menegaskan misi untuk membantu City memenangi Liga Juara-Juara akan terus kekal.
“Objektif saya kekal sama iaitu bermain di Liga Juara-Juara dengan kelab besar bagi membolehkan saya memenangi pertandingan ini,” jelasnya. – AGENSI