PETALING JAYA – Kerajaan Perpaduan diminta mengambil pendirian tegas terhadap penyeludupan rokok yang mengakibatkan negara kehilangan hasil cukai sebanyak RM5 bilion setahun.
Pengarah Urusan Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, kebanyakan rokok haram tidak mempunyai setem cukai Malaysia atau menampal setem cukai palsu pada bungkusannya.
“Rokok yang diimport secara haram ini menyebabkan Malaysia rugi berbilion-bilion daripada segi cukai yang tidak dibayar setiap tahun dan duit itu diguna bagi membiayai unsur jenayah di negara ini.
“Sesetengah daripada jenama ini mungkin mempunyai produk yang sah di pasaran, tetapi menjadi mangsa kepada kecurian Harta Intelek (IP) apabila penjenayah meniru penjenamaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyarankan Menteri-menteri Kabinet supaya saling bekerjasama untuk menangani laporan Ketua Audit Negara bagi menghentikan ketirisan yang mengakibatkan negara menanggung beban hutang RM1.5 trilion.
Beliau juga menyebut bahawa sehingga RM10 bilion boleh dijimatkan dengan menutup ketirisan tersebut.
Menurut laporan Illicit Cigarettes Study (ICS) in Malaysia oleh firma penyelidikan pasaran, Nielsen Inc, insiden rokok seludup di peringkat nasional ialah 56.6 peratus pada 2022, penurunan sebanyak 0.7 mata peratusan berbanding 2021
Menurut laporan berkenaan, tiga jenama rokok seludup utama ialah John, Era dan Canyon.
John mewakili 15.4 peratus rokok seludup yang dihisap di Malaysia, mengguguli tempat pertama carta di Semenanjung, manakala Era dan Canyon masing-masingnya pada tahap 7.7 peratus dan 5.2 peratus. – KOSMO! ONLINE