PETALING JAYA – Setelah hampir setahun teater Muzikal Puteri Gunung Ledang dibatalkan, penerbit Puan Seri Tiara Jacquelina tidak menolak sekiranya akan meneruskan pementasan tersebut pada masa hadapan.
Bagi Tiara atau nama lengkapnya Tiara Jacquelina Eu Effendi, 56, buat masa ini syarikat miliknya, Enfiniti Productions mahu melakukan pembaharuan sekiranya ingin meneruskan perancangan pementasan teater tersebut yang dibatalkan pada tahun lalu akibat pandemik.
“Sebagai sebuah syarikat, kami telah melakukan pelbagai evolusi dengan mementaskan beberapa pementasan hebat seperti P. Ramlee The Musical Teater dan Ola Bola.
“Kami mahu cabaran baharu dan ingin meneruskan penceritaan tersebut menggunakan platform lain dengan lingkungan berbeza.
“Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kerana mana tahu suatu hari nanti bangun tidur saya terus melakukan pementasan tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Dream Forest Langkawi, hari ini.
Dream Forest merupakan destinasi tarikan baharu iaitu sebuah hutan yang menggunakan teknologi ‘Augmented Reality’ (AR) dan ‘projection mapping’ menceritakan kisah-kisah legenda di Langkawi, Kedah.
Watak-watak yang digunakan dicipta khas agar mudah difahami bagi pengunjung yang datang ke lokasi tarikan baharu tersebut terletak di Lubuk Semilang, Langkawi.
Dengan keluasan sepanjang 1.2 kilometer (km), tempat pelancongan berkonsepkan fantasi berkenaan akan mula dibuka pada 1 Mei depan. – KOSMO! ONLINE