SUNGAI PETANI – Seorang suri rumah sesak nafas sehingga terpaksa diberikan bantuan oksigen oleh jirannya selepas terkejut melihat rumahnya di Taman Ria Jaya di sini terbakar pada pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, Siti Aisyah berusia lingkungan 50-an yang baru tiba di rumahnya tiba-tiba rebah dan ditenangkan suami, Zulkifli Hassan, 63, serta beberapa jiran serta diberi bantuan pernafasan menggunakan alat bantuan oksigen milik jiran.
Ketika kejadian Siti Aisyah dan suaminya tiada di rumah kerana keluar membeli barangan dapur di pasar dekat perumahan tersebut.
Mangsa yang mempunyai masalah jantung kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Ab. Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada pukul 9.21 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE