KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) kerana disyaki membuat tuntutan palsu.
Kedua-dua suspek yang merupakan lelaki berusia 41 tahun dan wanita berusia 42 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuantan malam semalam dan kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 25 Februari bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Farahah Mohd Suah selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.
Suspek lelaki yang merupakan Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti Paip ditahan pada pukul 8.20 malam manakala suspek wanita yang merupakan Penolong Operasi Paip ditahan pada pukul 8 malam.
Kedua-dua mereka disyaki berpakat memperakukan kerja-kerja bagi menyediakan makan dan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus pada 24 Februari 2022 sehingga 25 Februari 2022 yang berjumlah RM5,940.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE