PUTRAJAYA – Seramai 10 individu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan pelaburan dikenali Op Tropicana.
Kesemua suspek iaitu tujuh lelaki dan tiga wanita itu masing-masing melibatkan lima warga British, dua Filipina dan tiga warga tempatan.
Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor turut menetapkan tempoh reman sehingga 27 Februari ini.
Sebelum ini, SPRM membongkar satu sindiket ‘scammer pelaburan’ yang didalangi oleh warga United Kingdom (UK) bersama beberapa negara lain kerana turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah.
Operasi yang dinamakan sebagai Op Tropicana itu adalah kerjasama SPRM bersama Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia, Telekom Malaysia (TM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).- KOSMO! ONLINE