PETALING JAYA – Gara-gara melakukan khianat terhadap seorang pemilik kenderaan yang menghalang laluan keluar masuk, seorang penghantar makanan telah ditahan polis, di Jalan 3/40 Pusat Kepong Batu 6 1/2, kelmarin.
Dalam kejadian pada 27 Januari lepas, kira-kira pukul 7.16 malam, pihak polis telah menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan, berusia 27 tahun, mengenai kejadian khianat ke atas kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kira-kira pukul 9.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun.
“Suspek yang bekerja sebagai penghantar makanan, mengaku telah meletakkan tong sampah, sampah sarap dan botol kaca serta membuang angin tayar kereta pengadu disebabkan kereta pengadu telah menghalang laluan keluar masuk.
“Susulan daripada tangkapan yang dilakukan, pihak polis telah berjaya merampas satu jaket berwarna hijau dan satu beg berwarna hijau jenama penghantar makanan yang digunakan oleh suspek semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.
Suspek dituduh pada hari ini dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan niat menyebabkan kerugian dan telah disabitkan dengan hukuman denda sebanyak RM 1,000.00.
Dalam pada itu, Eng Lai menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang kegiatan
jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222,” katanya. – KOSMO! ONLINE