fbpx

Raysha Rizrose kini isteri pelumba kereta F2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS 10 tahun menyulam cinta, Raysha dan Nabil selamat bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz dalam sebuah majlis akad nikah berlangsung sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Pelakon Raysha Rizrose sah bergelar isteri kepada usahawan dan pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri dengan sekali lafaz tepat pukul 8.52 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd. Fariz Arshad dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara itu dihadiri sekitar 200 tetamu membabitkan saudara serta rakan terdekat mempelai.

Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama daripada pihak perempuan.

Menggayakan persalinan rona putih sentuhan Teh Firdaus dan ditatarias Syed Faizal Syed Noh, Raysha atau nama lengkapnya Farza Naquraisha Mohd. Fariz, 27, bersyukur segala perancangan berjalan lancar.\

“Syukur segala yang dirancang selama ini dipermudahkan. Saya terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai.

“Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua. Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” katanya selepas selepas majlis pernikahan.

Adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu juga tidak ketinggalan menyingkap kisah perkenalan mereka sejak 10 tahun lalu.

“Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah. Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik tetapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur.

“Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras hubungan kami,” kata anak keempat daripada tujuh bersaudara itu.

Mengenai bulan madu serta soal cahaya mata, Raysha mengakui mereka belum mempunyai sebarang perancangan berikutan komitmen tugasan.

“Banyak komitmen dan kerja yang saya kena selesaikan selepas kahwin. Malah sebelum majlis nikah ini pun, saya terikat dengan penggambaran beberapa kempen dan projek yang tak memerlukan komitmen panjang.

“Jadi bolehlah saya fokus membuat persiapan kahwin dalam tempoh itu. Sejujurnya, memang belum ada perancangan berbulan madu lagi saat ini.

“Soal anak pula, saya dan suami tidak meletakkan ketetapan. Bagi kami perihal cahaya mata ini, insya-Allah ada rezeki akan datang tepat pada waktunya.

“Cuma selepas kahwin, saya perlu lebih selektif memilih watak. Saya sudah berubah status, jadi keutamaan tentunya lebih kepada suami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI