fbpx

Projek perintis bekerja 4 hari seminggu catat kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang jurutera tekun melakukan pekerjaannya di Salford, barat England pada 24 Januari lalu. – AFP

LONDON – Sebilangan besar organisasi yang terlibat dalam inisiatif bekerja empat hari seminggu di Britain akan mengekalkan peraturan tersebut, lapor akhbar The Independent kelmarin.

Perkembangan itu menandakan kejayaan projek perintis yang dilaksanakan.

Projek itu menyaksikan 61 syarikat merentasi pelbagai sektor di Britain komited untuk mengurangkan waktu bekerja kakitangan sebanyak 20 peratus selama enam bulan dari Jun tahun lalu.

Kesemua firma itu juga tidak mengurangkan gaji pekerja mereka.

Sekurang-kurangnya 56 daripada 61 syarikat yang mengambil bahagian berkata, mereka merancang untuk meneruskan peraturan bekerja empat hari seminggu, manakala 18 yang lain mengesahkan dasar itu telah menjadi peraturan kekal.

Hanya tiga syarikat mengaku bahawa mereka menghentikan seketika dasar bekerja empat hari seminggu pada ketika ini.

Ahli-ahli akademik di Universiti Cambridge dan Kolej Boston di Amerika Syarikat menjalankan penyelidikan itu dan percubaan tersebut diselaras bersama oleh organisasi bukan berasaskan keuntungan, 4 Day Week Global. Ia juga melibatkan kerjasama dengan firma pemikir, Autonomy dan kumpulan kempen, 4 Day Week Campaign.

Hasil projek perintis itu mendapati terdapat penurunan bagi tahap tekanan dan rasa tidak sihat dalam kalangan kira-kira 2,900 pekerja yang terlibat.

Kira-kira 39 peratus pekerja berkata, mereka kurang tertekan berbanding ketika permulaan kajian, selain bilangan hari cuti sakit yang diambil sepanjang tempoh percubaan itu berkurang sebanyak dua pertiga.

Selain itu, pekerja juga didapati lebih cenderung untuk kekal dalam pekerjaan mereka, meskipun kajian itu dijalankan ketika trend begitu ramai pekerja meletak jawatan bagi mencari pekerjaan yang lebih fleksibel, demikian menurut laporan dikeluarkan.

Ia dibuktikan dengan penurunan 57 peratus bilangan kakitangan yang berhenti kerja dalam syarikat-syarikat yang mengambil bahagian berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Tahap kebimbangan, kesukaran untuk tidur dan keletihan turut menurun dengan ketara, manakala lebih ramai melaporkan tugas untuk mengimbangi tanggungjawab mereka menjadi lebih mudah.

Dalam masa sama, kajian tersebut turut mendapati perolehan syarikat meningkat sebanyak 1.4 peratus secara purata sepanjang tempoh masa kajian dan sehingga 35 peratus jika dibandingkan dengan tempoh enam bulan yang sama pada 2021.

Bagaimanapun, sebilangan pekerja di sebuah syarikat besar berkata, mereka bimbang mengenai bebanan kerja yang meningkat, kerja menjadi semakin banyak atau bergelut untuk menyiapkan senarai tugasan pada masa lebih singkat.

Selain itu, sebilangan pengurus dan kakitangan mengaku bahawa fokus dan keberkesanan dalam melakukan kerja menyebabkan mereka kurang bersosial atau berkomunikasi di tempat kerja.

Ini menjadi kebimbangan untuk syarikat-syarikat industri kreatif.

Seorang penyelidik bersama daripada Universiti Cambridge, Dr. David Frayne berkata: “Kami berasa amat teruja melihat hasil kajian ini yang menunjukkan banyak cara yang boleh dilakukan untuk syarikat mengubah dasar bekerja kepada empat hari seminggu, daripada satu mimpi kepada dasar realistik dengan pelbagai manfaat.”

Tambahnya, hasil kajian itu menunjukkan dasar bekerja empat hari seminggu kini bersedia untuk mengambil langkah seterusnya, daripada dijadikan eksperimen kepada pelaksanaan.

“Manfaat mengurangkan waktu bekerja dalam tempoh seminggu tanpa memotong gaji kini diketahui dan terbukti.

“Pekerja lebih gembira dan sihat, selain organisasi tempat mereka bekerja lebih produktif, cekap, dan dapat mengekalkan kakitangan dengan lebih mudah,” kata Frayne. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI