BATU PAHAT – Seorang pesara guru disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas melanggar sebuah kereta memasuki simpang dalam kejadian di Kilometer 145, Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran Semerah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.10 petang itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta dipandu oleh seorang wanita berusia 21 tahun.
Katanya, kedua-dua kenderaan itu datang dari arah sama iaitu dari arah Batu Pahat menghala ke Parit Kuda sebelum kereta dipandu wanita cuba untuk membelok memasuki simpang sebelah kanan.
“Mangsa, Md Shah Abdullah,62, yang berada di belakang kereta berkenaan tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian kanan menyebabkannya hilang kawalan dan terjatuh.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dibeberapa bahagian badan dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat menggunakan ambulan yang datang memberikan bantuan sejurus selepas kemalangan berlaku,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Ismail lagi, usaha untuk menyelamatkan warga emas itu bagaimana pun gagal selepas disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE