MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka mengesan terdapat peniaga di negeri ini yang menjual Menu Rahmah tanpa berdaftar dengan kementerian berkenaan.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, para peniaga perlu memahami tujuan inisiatif itu diperkenalkan dan tidak mengambil kesempatan melariskan jualan menggunakan nama Menu Rahmah untuk menarik lebih ramai pelanggan.
Katanya, pemantauan yang dilakukan secara berkala mendapati ada menu yang berharga RM5 sebelum ini tetap dijual pada harga sama.
“Terdapat peniaga terutama di gerai-gerai tepi jalan menjual Menu Rahmah tanpa melalui KPDN, mereka kata menu ini Menu Rahmah, tetapi apabila kita periksa, memang harga asal RM5.
“Perkara ini tidak boleh berlaku kerana mesti ada perbezaan harga, jika harga sebelum ini RM5, maka mereka boleh jual pada harga RM4.50 atau RM4.80 untuk Menu Rahmah, bukannya menukar menu RM5 tersebut kepada Menu Rahmah,” katanya pada sidang akhbar Program Pelupusan Eksibit di sini Krubong, di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan memberi advokasi kepada peniaga berkenaan yang berkemungkinan tidak cakna dengan syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, ditanya mengenai penyertaan Menu Rahmah di Melaka, Norena memberitahu, sehingga kini sebanyak 23 premis menyediakan menu berkenaan termasuk tiga buah hotel. – KOSMO! ONLINE