SEBERANG PERAI – Seorang pemilik kediaman bukan sahaja mengalami kerugian kira-kira RM200,000 malah rumah baharunya itu turut disita Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pulau Pinang gara-gara mengupah kontraktor warga asing.
Rumah dua tingkat terbabit antara tiga kediaman yang berdepan tindakan sita atas pelbagai kesalahan menerusi operasi yang dijalankan di Nibong Tebal bermula pukul 10 pagi, hari ini.
Pengarahnya, Zahidi Hashim berkata, operasi tersebut dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas pihak CIDB menerima aduan berhubung pemilik rumah tempatan menggajikan kontraktor asing bagi kerja-kerja mengubah suai kediaman.
Menurutnya, antara kesalahan lain yang dikesan adalah kontraktor yang menjalankan kerja pengubahsuaian tidak memiliki Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) serta PPK tamat tempoh.
“Inilah risiko yang perlu dihadapi pemilik rumah sekiranya mengupah kontraktor yang terdiri daripada warga asing mahupun kontraktor tidak berdaftar kerana projek pengubahsuaian yang dijadualkan akan terganggu apabila kita menjalankan kerja penguatkuasaan.
“Pemilik rumah turut akan menanggung kerugian ekoran kerja-kerja ubah suai tergendala sedangkan wang deposit sudah dibayar kepada kontraktor, selain pemilik rumah juga perlu melantik kontraktor berdaftar baharu sekali gus akan melibatkan kos tambahan yang membebankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhannya, sembilan notis telah dikeluarkan susulan melanggar Seksyen 25(1) Akta Lembaga Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Pindaan) 2011. – KOSMO! ONLINE