PETALING JAYA – Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyatakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah seorang pemimpin berjiwa besar.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa bersama Najib di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.
Noh Berkata, meskipun berada dalam penjara, Najib tetap mengikuti perkembangan politik terutama melibatkan parti UMNO.
“Pagi tadi ke Mahkamah Putrajaya untuk mendengar kes rayuan Najib. Alhamdulillah berkesempatan berborak dengan Bossku (Najib) walaupun sekejap. Terima kasih Bossku yang mengikuti perkembangan apa yang berlaku kepada saya.
“Jasa Bossku tetap saya kenang sebagai bos saya semasa di dalam kabinet dan UMNO dan juga menghormati beliau sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan banyak pengalaman dikongsi antara mereka berdua dahulu dalam usaha untuk membantu rakyat.
“Semoga Najib mendapat penghakiman yang adil dan menang rayuan kes. Sama-sama kita doakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE