fbpx

Mahkamah: Tidak pernah cili Bella, suruh makan najis – Siti Bainun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FIRDAUS JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa kejadian remaja sindrom Down Bella dicili, disuruh makan najis dan diikat tidak pernah berlaku.

Siti Bainun berkata, segala tuduhan perbuatan buruk seperti dikatakan oleh saksi pendakwaan kelima iaitu Yasmin Nahar Mahmood berhubung kejadian tersebut dalam keterangannya sebelum ini adalah sama sekali tidak benar.

“Beri makan cili, simbah air panas, suruh makan najis memang tidak pernah berlaku…tiada keperluan untuk saya buat begitu terutama sekali pada Bella. Kenapa kena buat semua ni kepada Bella? Bella tidak pernah buat saya susah,” katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf pada perbicaraan bela diri hari ini.

Tambahnya lagi, perkara itu tidak perlu berlaku pada Bella malah pada penghuni lain termasuk Yasmin meskipun remaja itu paling banyak bermasalah dan memening kepala.

Mengulas lanjut semasa pemeriksaan utama itu, Siti Bainun turut memberitahu dia juga tidak pernah mengarahkan seorang lagi bekas penghuni Rumah Bonda yang dikenali sebagai Aida dan Yasmin menganiaya Bella.

Pada 14 April tahun lalu, Yasmin, 19, dalam keteranganya memberitahu Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh Siti Bainun.

Yasmin juga memaklumkan Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut.

Saksi itu berkata, beliau dan seorang lagi penghuni rumah terbabit dikenali sebagai Aida turut mengira jumlah cili padi berkenaan.

Namun apa yang menjadi tanda tanya ketika itu, apabila Bella tidak mengalami sakit perut akibat memakan cili jika diikutkan perkiraan mangsa diberi makan empat kali seminggu.

Malah pada 20 April tahun sama peguambela Siti Bainun, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor ketika itu juga berkata, tidak ada laporan perubatan daripada doktor menunjukkan Bella telah diberi makan cili dan mengalami kecederaan dalaman akibat memakan cili yang banyak.

Semalam Siti Bainun memaklumkan dia lebih menyayangi Bella berbanding anak lain kerana remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) itu disifatkan manja dan kelakar selain tiada keperluan untuk mengambilnya semata-mata untuk mendera.

Perbicaraan bela diri berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI