KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka memberi keterangan dalam prosiding hari pertama bela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama bagi menjawab empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), yang dikenakan terhadapnya.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pendakwaan telah menerima pernyataan saksi pemimpin Muda itu pada Sabtu lalu.
Selepas membaca keterangan bela dirinya itu, Syed Saddiq, 31, akan disoal oleh peguamnya dalam pemeriksaan utama disusuli pemeriksaan balas oleh pasukan pendakwaan.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan Syed Saddiq membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan itu.
Syed Saddiq kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Tertuduh kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Sepanjang prosiding, tertuduh diwakili peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar.
Terdahulu pada 27 September tahun lalu, pendakwaan menutup kes perbicaraan selepas 30 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – KOSMO! ONLINE