fbpx

KPDN Melaka lupus kasut berjenama tiruan RM85,710

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kasut tiruan untuk dilupuskan pada Program Pelupusan Eksibit di stor KPDN, Krubong, Melaka, hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka melupuskan sebanyak 4,277 pasang kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama bernilai RM85,710.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, barangan tiruan itu disita pada 2022 dan pemiliknya telah dikompaun sebanyak RM55,000 oleh mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagang 2019.

Menurut beliau, selipar dan kasut tiruan itu dikategorikan sebagai greb B dan disasarkan kepada pembeli sempena musim perayaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjual kasut dan selipar tiruan berjenama Nike dan Adidas melalui platform dalam talian sempena musim perayaan dan kita berjaya mengesan pemilik menyimpan stok di kawasan perumahan persendirian berpagar dalam daerah Melaka Tengah,” katanya dalam sidang akhbar Program Pelupusan Eksibit di Krubong di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua barangan dirampas dikategorikan gred B yang mana terdapat perbezaan ketara dari segi harga.

“Contohnya selipar dan kasut tiruan dijual antara RM10 dan RM60 sepasang berbanding harga asal RM400 hingga RM500 sepasang, bergantung kepada rekaan.

“Secara keseluruhan kita telah melupuskan barangan sitaan melibatkan 46 kes yang terdiri daripada pelbagai akta yang diwartakan bernilai RM587,065 pada 2022 dan jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu, RM593,942,” katanya.

Katanya, sebanyak 44 kes telah dihasilkan melibatkan barang rampasan bernilai RM2.2 juta sepanjang tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI