BANGKOK – Seorang pegawai polis di Thailand maut dalam satu kemalangan jalan raya selepas kereta sedan yang dipandunya merempuh penghadang jalan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Mayat Naphatrapee Worawongwaylarath, 30, dari Balai Polis Wilayah Chainart ditemui dalam keadaan kepalanya terputus dari badan selepas tertusuk penghadang jalan sepanjang 10 meter.
Kereta sedan Honda Civic berwarna hitam milik mangsa yang remuk ditemui di lorong sebelah kiri jalan.
Menurut akhbar Thairath, kemalangan itu berlaku pada pukul 12.15 tengah malam (waktu tempatan) di Jalan Phahonyothin di hadapan Sekolah Wat Laem, wilayah Chai Nat.
Ketika kejadian, Naphatrapee dikatakan memandu laju selepas pulang bekerja. Dia cuba memotong kereta lain di hadapan, namun hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.
Rempuhan itu menyebabkan penghadang jalan tersebut teralih dari tempatnya. Kereta itu berpusing di jalan sebelum merempuh tiang elektrik berhampiran dan berhenti. – Agensi