fbpx

Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa terima suapan RM4.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan rasuah RM4.1 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Adam Radlan, 42, yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bapa kepada empat anak itu didakwa menerima suapan wang RM2 juta daripada seorang individu sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang bernilai RM141 juta.

Selain itu, Adam Radlan turut didakwa menerima suapan wang RM2.1 juta daripada seorang pengarah urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd. sebagai upah membantu syarikat berkenaan memperoleh projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan yang keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jaya One, Petaling Jaya, masing-masing antara 26 November 2021 hingga 2 Disember 2022 dan 4 April 2022 hingga 5 Januari lalu.

Pendakwaan bagi dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Allan Suman Pillai mencadangkan kos ikat jamin sebanyak RM1juta dengan dua penjamin selain syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan bagaimanapun memohon pengurangan berikutan anak guamnya tidak pernah dituduh atas mana-mana kesalahan jenayah sebelum ini selain mempunyai tanggungan seorang ibu dan empat anak berusia sembilan hingga 16 tahun.

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM600,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI