PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatat peningkatan hasil sebanyak sebanyak 26 peratus iaitu kira-kira RM1.72 bilion bagi tahun kewangan berakhir (FYE) pada 31 Disember lalu.
Berbanding tahun sebelumnya iaitu kira-kira RM1.37 bilion, LBS turut mencatat peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 17 peratus pada tahun lalu daripada RM114.92 juta kepada RM134.48 juta.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, peningkatan tersebut adalah merupakan pencapaian tertinggi yang diraih syarikat meskipun berhadapan dengan cabaran global, ketidakstabilan geo-politikal, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi.
Jelas beliau, LBS mampu mengekalkan prestasi yang positif itu daripada campuran produk LBS terutama bagi segmen rumah mampu milik.ia selaras dengan tiga matlamat syarikat iaitu mampu milik, kesinambungan dan komuniti.
“Prestasi cemerlang itu juga turut disokong oleh gabungan strategi pemasaran kreatif yang sihat dan berdaya saing.
“Selain itu, LBS komited untuk menawarkan ganjaran dan manfaat menarik kepada pembeli rumah menerusi Kempen LBS Fabulous Extra dengan hadiah cabutan bertuah bernilai RM1.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut Hock San berkata, dari segi pembangunan hartanah, Lembah Klang kekal sebagai salah satu faktor penyumbang pendapatan utama LBS iaitu melebihi 84 peratus daripada hasil kumpulan bagi FYE2022.
Ujar beliau, kenaikan itu didorong oleh kadar pengambilan yang baik, dan perkembangan kemajuan pembinaan yang stabil di beberapa projek utama LBS seperti di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, dan projek Rumah Idaman MBI.
“Bagi suku keempat tahun kewangan dalam tinjauan, LBS melaporkan hasil sebanyak RM372.76 juta.
“Di samping itu, PAT dan keuntungan selepas cukai serta kepentingan bukan kawalan masing-masing adalah sebanyak RM28.33 juta dan RM25.65 juta,” jelasnya.
Beliau menambah, LBS sekali lagi melepasi jangkaan dan menutup tirai tahun 2022 dengan kukuh sekaligus meletakkan syarikat pada kedudukan yang stabil bagi tahun ini.
“Suatu penghormatan bagi LBS kerana berpeluang untuk menyaksikan pemulihan pasaran hartanah, dan kami menjangkakan keyakinan pasaran akan bertambah baik pada tahun 2023.
“LBS turut menyasarkan 12 buah projek baharu dengan nilai GDV sebanyak RM2.09 bilion pada suku akan datang,”kata Hock San.
Pada masa sama katanya, prestasi kewangan LBS dilihat akan kekal berdaya tahan seperti peningkatan pendapatan pada tahun lalu.
Menurutnya, LBS berjaya melepasi sasaran jualan pada tahun lalu sebanyak peratus 25 peratus, iaitu dari sasaran awal RM1.6 bilion kepada RM2 bilion dan ia merupakan bukti kepercayaan dan keyakinan pembeli rumah kami menerusi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
“LBS akan terus meningkatkan kecekapan operasi bagi menambah baik margin keuntungan seiring dengan kemampanan perniagaan untuk jangka masa panjang.
“LBS juga akan memberi fokus kepada prinsip ESG untuk nilai jangka panjang bagi memacu pertumbuhannya dalam pasaran hartanah,” tegasnya.
Untuk rekod, LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM5.7 bilion dan bank tanah seluas 2,970 ekar.
Jualan tidak dibil direkodkan sebanyak RM2.4 bilion dijangka memberikan pulangan positif kepada Syarikat bagi tempoh dua ke tiga tahun ke hadapan.-KOSMO! ONLINE