MANJUNG – Beberapa penternak yang membiarkan haiwan mereka berkeliaran terpaksa menggigit jari apabila Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bertindak melelong enam lembu yang ditangkap pada harga RM14,000.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, sebanyak sembilan ekor haiwan ternakan dilelong sepanjang tahun lalu selepas ditangkap dalam Operasi Tangkapan Lembu Merayau.
Katanya, tujuh daripada haiwan tersebut merupakan lembu dengan enam daripadanya dilelong dengan nilai RM14,000, manakala seekor lagi dituntut oleh pemiliknya.
“Pemilik yang ingin mengambil semula ternakan mereka tetap perlu membayar RM2,500 bagi menuntut haiwan ternakan tersebut.
“Dua ekor kambing dilelong pada tahun lepas juga dituntut oleh tuannya dan perlu bayar RM500 seekor,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Syamsul Hazeman berkata, pada tahun ini seekor lembu disita dan dilelong pada minggu lalu.
Tambahnya, tiga pembida hadir bagi membeli lembu yang dilelong akibat kecuaian pemilik dalam penjagaan dan membiarkan ia berkeliaran di kawasan awam hingga membahayakan pengguna jalan raya.