MELAKA – Perbuatan seorang duda memecah masuk sebuah bengkel dan mencuri satu set peralatan membaiki kereta membawa padah selepas dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Idris Karim, 41, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan pecah masuk kedai milik Mohd Nazree Norizan dan mencuri satu set ‘tool box’ bernilai RM3,000.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.46 pagi di Nazree Auto Garage, Lorong Pandan, Kampung Lapan dalam daerah Melaka Tengah, 15 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Terdahulu, Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai tukang pasang mozek dan merupakan duda satu anak.
Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu 15 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE