KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong menarik perhatian sidang Dewan Rakyat dengan membawa tiga biji telur ayam sewaktu membangkitkan isu tersebut.
Beliau menunjukkan telur ayam terdiri daripada telur import dari India, telur ayam tempatan serta telur Omega sewaktu perbahasan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Dalam konteks ini, saya bawa telur ayam dari India (berharga) 50 sen, ini pula telur ayam Malaysia nak cari harga 45 sen, 43 sen yang harganya dikawal. Tengok saiz, kita dapat lihat harga telur India lebih kecil, yang ini (telur ayam Malaysia) lebih besar… ini kekurangannya.
“Kalau kata telur Omega, telur kampung harganya 76 sen. Orang kaya, orang berada boleh beli, tapi inilah puncanya (sambil menunjukkan telur ayam Malaysia) nak bantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) khususnya orang Melayu nak buat kuih,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menyelesaikan isu bekalan telur dengan segera bagi mengelakkan timbul masalah ketiadaan telur menjelang Ramadan dan Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE