fbpx

Dewan Rakyat: Sidang tenang, Ahli-Ahli Parlimen sempat berpantun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven dan Ka Siong antara Ahli Parlimen yang berpantun pada sidang Dewan Rakyat pagi ini.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung pada pagi ini berjalan lancar dan tenang, bahkan beberapa Ahli Parlimen turut memulakan soalan dan jawapan dengan berpantun.

Pantun dimulakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim dengan pantunnya iaitu, ‘minta izin menurun lukah, masuk keli mancawarna, minta izin membuka langkah, jawab soalan nombor tiga’.

Beliau memulakan pantun ringkas itu sebelum menjawab soalan daripada Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Ahli Parlimen lain yang turut berpantun ialah Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sewaktu bertanyakan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dengan pantun, ‘kuning warnanya buah nanam, buahnya pelik rasanya masam, soalan saya nombor enam, sila jawab jangan kecam’.

Pantun diteruskan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dengan pantun iaitu, ‘orang Jawa pandai masak, diajak makan jangan gelojoh, dari Yong Peng ke JB memanglah sesak, mohon menteri jawab soalan tujuh’.

Ia ditujukan kepada Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi dan beliau membalas, ‘saya kalau berpantun Iban, panjang sampai setengah jam’.

Dalam masa sama, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) turut memohon maaf kerana tidak sempat merangka pantun sewaktu mahu bertanya soalan kepada Steven.

“Saya minta maaf, tak sempat sediakan pantun sebab semalam ada urusan di luar dewan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula menyifatkan sidang Dewan Rakyat berlangsung dengan tenang pada pagi ini.

“Hari ini Parlimen tenang, maka soalan 10 pun sampai. Kalau tenang hari ini kan bagus,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI