fbpx

Dewan Rakyat: Ahli Parlimen cadang benarkan pengeluaran KWSP bersasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri, Syahir dan Dzulkefly memohon kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar dengan syarat ketat.

KUALA LUMPUR – Kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar masih menjadi topik dicadangkan Ahli-Ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) menyuarakan cadangan sama seperti sidang Dewan Rakyat semalam dan disokong Syahir Sulaiman (PN-Bachok) dan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor).

Ismail Sabri memohon kerajaan mempertimbang kebenaran pengeluaran KWSP bersasar untuk mereka yang layak berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Apabila sebut cadangan pengeluaran bersasar, bermakna yang layaklah. Tak layak tak payah bagi, yang layak dan syarat itu ditentukan oleh kerajaan. Kerajaan punya kuasa meletakkan (syarat).

“Kalau kategori masih bekerja, sebagai contoh potongan KWSP setiap bulan akan diteruskan. Maknanya bukan kosong KWSP kalau benarkan pengeluaran. Jadi saya harap kerajaan pertimbangkan kepada yang layak,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Syahir berkata, beliau bersetuju pandangan Ismail Sabri untuk memfokuskan kepada pengeluaran KWSP bersasar dan mereka yang mampu.

“Jadi impak sangat besar kepada pemulihan ekonomi. Secara ‘indirectly’ dapat bantu pemulihan ekonomi dan golongan rentan yang tiba-tiba jatuh miskin. Asalnya M40 tapi jatuh sakit, hilang pekerjaan dan hilang upaya sebagainya,” katanya.

Dzulkefly juga bersetuju dengan cadangan tersebut sekali gus berharap ia dipertimbangkan secara serius.

“Sementara saya memahami, kita tidak harus mengorbankan simpanan usia tua. Tapi Kuala Selangor juga ingin sambut apa yang dicadangkan Bera dan kawan-kawan lain untuk memberikan syarat setinggi yang ketat kepada mereka yang layak dan bersasar.

“Tergantung khas kepada mereka jatuh miskin atau B40 daripada M40. Inilah waktu mereka dibantu kalau tidak ada cara lain kerajaan boleh bantu. Paling tidak perkara ini perlu pertimbangan serius kepada mereka yang layak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI