fbpx

Cerita bawa Bella ke klinik bukan rekaan – Siti Bainun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun hadir bagi perbicaraan dua pertuduhan mengabai dan menganiayai remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. FOTO MOHD. FIRDAUS MOHD JOHARI

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini menafikan bahawa cerita mengenai Bella dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan adalah rekaan semata-mata.

Pada prosiding sebelah petang, Siti Bainun menafikan perkara itu selepas tidak bersetuju dengan cadangan soalan semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.

Nor Azizah: Saya katakan cerita bawa Bella ke klinik adalah rekaan semata-mata?
Siti Bainun: Tidak setuju.

Dalam pada itu, Siti Bainun berkata seperti ibu-ibu lain, sekiranya anak sakit dia akan memberikan rawatan atau melakukan apa sahaja yang dirasakan terbaik.

“Ia bergantung pada tahap sakit anak saya. Bearable (boleh ditahan) atau tidak,” katanya lagi.

Sebelum ini, ketika di peringkat pendakwaan, saksi pendakwaan ke-16, Dr. Rashid Khan Mohamad memberitahu, Siti Bainun datang ke kliniknya pada 2 Jun 2021 untuk mendapatkan ubat bagi rawatan kecederaan akibat terkena air panas.

Doktor perubatan Klinik Setapak dan Surgeri itu berkata, Siti Bainun mendakwa kecederaan tersebut dialami ‘anaknya’ selain mahu mendapatkan ubat untuk diri sendiri.

Terdahulu, pada sesi pemeriksaan utama, Siti Bainun menyatakan dia berasa pelik apabila saksi pendakwaan pertama, Zurianti Sudin bersungguh-sungguh menyuruhnya mendapatkan rawatan Covid-19 di hospital sedangkan kesihatannya ketika itu masih baik.

Tambahnya, Zurianty bukan sahaja memaksanya untuk ke hospital malah memberi peringatan jika berdegil dia akan dipisahkan dengan anak jagaannya dengan cara paling sedih.

“Saya tidak tahu mengapa dia buat begitu kerana dia tidak pernah ambil tahu keadaan diri saya,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari dan Jun 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI