YAN – Beruang matahari betina seberat 90 kilogram (kg) yang diselamatkan setelah tersesat di Kampung Selengkoh Tengah di sini awal bulan ini telah dilepaskan di satu lokasi bersesuaian.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, beruang itu dibebaskan sehari selepas kejadian setelah disahkan dalam keadaan sihat oleh pakar veterinar.
“Kami telah berhubung dengan Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) Sungkai, Perak yang mengesahkan beruang itu sihat dan sedia untuk dilepaskan ke habitat sesuai, dan jika ia berada dalam keadaan tidak sihat, kami takkan melepaskannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya bagaimanapun tidak boleh mendedahkan di kawasan mana beruang itu dilepaskan kerana polisi konservasi.
Tambahnya, pemeriksaan dijalankan mendapati beruang tersebut berusia kira-kira sembilan tahun dan sememangnya haiwan liar serta tidak dibela mana-mana pihak seperti didakwa pihak tertentu sebelum ini.
Dalam kejadian pada 2 Februari lalu, seorang anggota bomba, Mohd. Nizam Hamid, 27, cedera selepas pergelangan tangan kirinya digigit beruang tersebut yang tersesat dan masuk ke kawasan sawah padi. – KOSMO! ONLINE