KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan beberapa pasukan Liga Super belum menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import menjelang tarikh tutup jendela perpindahan malam esok.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, kelewatan ini disebabkan ada dalam kalangan pemain import terbabit masih lagi dalam fasa percubaan (trial) bersama pasukan masing-masing.
“Saingan Liga Super semakin hampir untuk membuka tira dan kami berharap semua pasukan dapat melengkapkan pendaftaran pemain termasuk dalam soal dokumen dan ITC.
“Saya percaya semua pasukan dapat melengkapkan proses pendaftaran pemain sebelum tarikh tutup iaitu pada 23 Februari (esok) pada pukul 11.59 malam.
“Saya rasa tiada isu berbangkit selain satu dua pasukan yang masih belum terima ITC pemain import atas sebab pemain itu masih dalam fasa percubaan.
“Ini adalah proses yang biasa kerana setiap pasukan tidak mahu hadapi sebarang risiko dan menandatangani pemain yang terbaik,” katanya kepada media hari ini.
Stuart ditemui ketika menghadiri Majlis Pengumuman AEON Big Sebagai Penaja Rasmi Liga Malaysia musim 2023 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur petang tadi. – KOSMO! ONLINE