PETALING JAYA – YNH Property Berhad dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan bahawa organisasi berkenaan termasuk pengarah, pengurusan dan pemegang sahamnya telah diserang satu siri berita palsu, diikuti dengan intimidasi jenayah.
Lembaga Pengarah syarikat itu berkata, beberapa portal dan laman ‘berita’ tertentu, yang berasal dari sumber yang diragui telah menerbitkan satu siri artikel yang mengandungi tuduhan serius terhadap syarikat, pengarah, pengurusan dan pemegang sahamnya.
“Artikel-artikel ini mengandungi perwakilan dan pernyataan yang memfitnah dan palsu serta sengaja menyimpang maklumat yang dibentangkan untuk menimbulkan kerosakan dan bahaya serius terhadap operasi kami.
“Kami melihat terdapat unsur-unsur intimidasi jenayah yang berkaitan dengan berita palsu tersebut kerana terdapat ancaman yang menyatakan penyebaran lebih banyak berita palsu jika sejumlah wang tidak dibayar.
“Laporan polis telah dibuat berhubung intimidasi jenayah, artikel dan aduan yang berniat jahat yang juga telah diserahkan kepada pihak berkuasa pengawalseliaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
YNH Property turut berharap pihak berkuasa akan menyiasat isu berkenaan secepat mungkin serta mengambil tindakan yang diperlukan untuk melindungi kepentingan pemegang saham dan pihak berkepentingannya, selain akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara itu.
“Kami menasihatkan orang ramai supaya melawat laman web kami di www.ynhb.com.my untuk mengesahkan apa-apa perkara yang berkaitan dengan syarikat dan tidak dikelirukan oleh sebarang berita palsu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE