ABU DHABI – Sebuah klip video tular yang menyatakan bahawa robot setinggi 2.4 meter menjadi pengawal peribadi Raja Bahrain dalam satu acara pameran di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) disahkan berita palsu, lapor laman berita India Times.
Dalam video tersebut, seorang lelaki didakwa Raja Bahrain berjalan sambil diekori robot tersebut dalam acara yang didakwa berlangsung di Dubai.
Video lama itu dikatakan muncul semula dan membuatkan orang ramai mempercayainya termasuk sebilangan organisasi media yang turut memainkan berita tersebut.
Maklumat yang tepat mengenai video itu adalah lelaki yang berjalan di hadapannya bukan Raja Hamad bin Isa Al Khalifa selain robot yang mengekori individu berkenaan bukan pengawal peribadinya.
Robot itu sebaliknya bernama Titan.
Video asal paparan itu dimuat naik di laman perkongsian video, YouTube pada Februari 2019 yang turut memberitahu maklumat tepat.
Rakaman itu sebenarnya dirakam pada satu pameran pertahanan di UAE, Pameran Idex, pada 2019 yang diadakan di Abu Dhabi, di mana Titan dipamerkan kepada pengunjung.
Video tersebut bahkan turut memaparkan bendera UAE diletakkan pada bahu dan lengan Titan.
Sejak video itu mula tular, Titan semakin dikenali ramai dan mendapat perhatian dalam banyak acara. – Agensi