MADRID – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengharapkan sentuhan magis penyerang sensasi, Vinicius Junior untuk menghampakan Liverpool menjelang aksi pertama pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi esok.
Sebagai rekod, Vinicius telah menjadi duri dalam daging buat skuad The Reds selepas meledak gol tunggal pada aksi final Liga Juara-Juara musim lepas yang menyaksikan The Galacticos menjulang trofi paling berprestij Eropah itu buat kali ke-14.
Kata Ancelotti, prestasi Vinicius sejak beberapa perlawanan lepas sangat memberangsangkan dan sudah tentu menjadi sandaran utama pasukan untuk merobek gawang lawan selain kapten pasukan, Karim Benzema.
“Vinicius adalah pemain yang boleh mengubah perlawanan pada bila-bila masa. Saya cukup gembira dengan prestasinya ketika ini dan harap dia boleh melakukan perkara yang sama pada perlawanan menentang Liverpool nanti.
“Selain itu, saya boleh mengesahkan beberapa pemain utama kami yang direhatkan pada perlawanan liga baru-baru ini seperti Benzema, Toni Kroos dan Aurelien Tcouhameni bakal diturunkan pada aksi di Anfield nanti,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Real, Luka Modric tidak mahu rakan sepasukannya memandang rendah keupayaan Liverpool yang dikritik hebat kerana gagal pamerkan prestasi konsisten pada musim ini.
“Secara jujur, saya pasti bukan saya sahaja yang terkejut dengan prestasi Liverpool musim ini kerana dengan barisan pemain yang mereka ada, sepatutnya mereka boleh lakukan yang lebih baik. Apa yang pasti pasukan perlu sentiasa berwaspada dengan ancaman,” katanya. – AGENSI