LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk menyeru agar rakan-rakan sepasukan kekal fokus dalam usaha meneruskan momentum positif pada aksi pertama Liga Juara-Juara menentang juara bertahan, Real Madrid di Anfield awal pagi esok.
Sebagai rekod, The Reds gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan pada kempen musim ini, tetapi berjaya merekodkan dua kemenangan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) baru-baru ini.
Kata Van Dijk, dua kemenangan yang diraih sememangnya menaikkan motivasi pasukan dalam usaha melakar keputusan positif ke atas skuad The Galacticos sekali gus membawa bekalan selesa sebelum berkunjung ke Santiago Bernabeu nanti.
“Saya sangat gembira dengan komitmen pasukan sejak beberapa perlawanan lepas yang mana kita telah menunjukkan semangat berpasukan yang begitu jitu dan sudah tentu ia hadir pada masa yang tepat untuk memulihkan prestasi pasukan ini.
“Namun, fokus kini terarah kepada perlawanan menentang Real nanti yang mana kita sedar hanya keputusan positif yang dicari jika mahu mencerahkan peluang mara ke peringkat suku akhir nanti,” kata pemain antarabangsa Belanda itu.
Sementara itu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui benteng pertahanan ampuh menjadi kunci buat pasukan sekiranya mahu membalas dendam ke atas Real pada aksi ulangan final Liga Juara-Juara edisi 2022 itu.
“Kami berjaya merekodkan dua aksi tanpa bolos pada perlawanan EPL yang lepas dan sudah pasti ia memberikan keyakinan buat pasukan sebelum menentang Real nanti. Namun, mereka adalah pasukan yang berkualiti dan pemain kami tetap perlu waspada,” katanya. – AGENSI