fbpx

Turkiye, Syria sekali lagi dilanda gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Hatay, semalam. – EPA

ANKARA – Satu lagi gempa bumi berkekuatan 6.4 pada skala Richter menggegarkan wilayah selatan Turkiye, Hatay dan utara Syria, yang meragut tiga nyawa serta mencetuskan panik selepas bencana serupa berlaku pada 6 Februaru lalu.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu berkata, tiga penduduk terbunuh manakala 213 lagi dibawa ke hospital.

Di Syria pula, pertubuhan White Helmets berkata, lebih 130 orang cedera selain beberapa bangunan yang telah pun rosak akibat gempa sebelum ini runtuh.

Gempa terbaharu semalam itu melanda pekan Defne di Turkiye pada pukul 8.04 malam (waktu tempatan) dan gegarannya dapat dirasai dengan kuat oleh wakil AFP di bandar Antakya dan wilayah Adana, kira-kira 200 kilometer ke utara.

Agensi pengurusan bencana Turkiye menerusi kenyataan di laman Twitter berkata, satu lagi gempa susulan yang bermagnitud 5.8 berlaku tiga minit kemudian dengan pusat gempa di daerah Samandag di Hatay.

Agensi tersebut turut merekodkan dua lagi gegaran berukuran 5.2 pada skala Richter sekitar 20 minit selepas gempa pertama semalam.

Beberapa imej dikongsikan agensi berita DHA menunjukkan sebuah hospital di Antakya sedang memindahkan pesakit manakala stesen penyiaran NTV melaporkan sebuah lagi hospital lain turut melakukan perkara serupa di bandar Iskenderun.

Menurut Soylu, anggota penyelamat kini sedang mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Seorang wartawan AFP yang melaporkan situasi panik tercetus di Antakya, sambil menambah gegaran telah menyebabkan awan debu menyelubungi bandar yang telah musnah itu.

Dinding bangunan yang rosak teruk telah runtuh manakala sebilangan mangsa yang cedera meraung meminta bantuan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI