SUNGAI PETANI – Tukang gunting rambut menjadi antara individu paling penting bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut sehingga ada yang terpaksa menawarkan khidmat sehingga ke lewat malam.
Tukang gunting di Taman Ria Jaya di sini, Mohd. Saad Hamid, 60, berkata, suasana akan menjadi sibuk terutama menjelang seminggu atau dua minggu sebelum sesi persekolahan dibuka.
“Pada cuti persekolahan Disember lalu, pendapatan saya melonjak kerana ramai pelanggan terutama pelajar yang datang.
“Dalam tempoh itu, saya mengambil inisiatif dengan mendahulukan pelajar berbanding orang dewasa agar mereka dapat membuat persediaan awal sebelum ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Saad, dia mengenakan bayaran perkhidmatan menggunting sebanyak RM5 untuk setiap pelajar.
“Alhamdulillah, kedai gunting saya yang terletak berdekatan taman perumahan menjadi tumpuan sejak lebih 30 tahun lalu,” ujarnya.
Menurutnya, dia juga akan membuka kedai sehingga lewat malam sekiranya masih ada permintaan dalam kalangan pelajar untuk menggunting rambut.