BOLOGNA – Juara dunia MotoGP musim lalu, Francesco Bagnaia yakin dia mampu untuk mengelakkan permulaan perlahan seperti mana musim lalu untuk saingan 2023, selain mengakui berlumba dalam keadaan litar basah tidak lagi membuatkannya berasa takut.
Perubahan enjin menyaksikan pelumba yang menggunakan jentera Ducati agak ketinggalan pada musim 2022 menyebabkan mereka terpaksa kembali menggunakan jentera musim 2021.
“Saya rasa sangat baik sejak awal menguji jentera baharu GP23. Saya fikir kami sangat hampir untuk mendapatkan hasil yang diinginkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bagnaia juga memuji jentera baharu Ducati GP23 yang memiliki karakter lebih baik terutama ketika berlumba dalam keadaan trek basah sekali gus meningkatkan keyakinan untuk memburu kemenangan berbanding musim lalu.
“Satu lagi perkara yang menggembirakan adalah saya berjaya berlumba dengan baik dalam keadaan litar basah berbanding musim lalu.
Sejujurnya, musim lalu apabila cuaca hujan, ia membuatkan saya cemas dan ia adalah umpama mimpi ngeri.
“Jentera musim lalu tidak begitu baik dalam cuaca sedemikian, tetapi kali ini ia berbeza. Saya dapat merasai perbezaannnya dan lebih yakin. Kesan inersia pada enjin dan keseimbangan jentera menjadi lebih baik untuk berlumba ketika hujan,” jelasnya. – AGENSI