KUALA KRAI – Tiga beradik yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ dicekup selepas didapati membawa dadah jenis syabu seberat 150 kilogram bernilai RM5.4 juta di dalam sebuah lori milik syarikat keluarga mereka di dua lokasi berasingan di sini, semalam.
Tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.50 pagi di Kampung Kenor dan Kampung Tengah dekat sini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selepas menjalankan intipan, anggota polis mengesan sebuah lori membawa muatan perabot terpakai dan sebuah kereta jenis Honda City dari arah Ketereh menuju ke Kuala Krai dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian bertindak mengekori lori tersebut sehingga ke Kuala Krai sebelum menahan kedua-dua kenderaan itu di dua lokasi untuk tujuan pemeriksaan.
“Pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menemui satu plastik hitam yang mengandungi 150 paket teh Cina dengan setiap satunya seberat satu kilogram.
“Selain itu, polis turut menjumpai tujuh bungkusan plastik berisi cecair disyaki air ketum dan wang tunai berjumlah RM5,146 bersama salah seorang suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini, hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, hasil soal siasat terhadap suspek mendapati, lori yang digunakan untuk membawa syabu itu merupakan kenderaan syarikat pengangkutan milik keluarga mereka.
Katanya, polis yakin tiga beradik itu terlibat dalam kegiatan sindiket pengedaran dan sedang mengesan suspek lain yang terlibat dalam kumpulan tersebut. – KOSMO! ONLINE