fbpx

Suspek pecah kenderaan ada pas media Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nanda menunjukkan pelbagai barang rampasan dalam kes pecah kenderaan sekitar Seremban. - Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP / KOSMO!

SEREMBAN – Suspek utama warga Indonesia yang aktif dalam kes pecah kenderaan di sekitar Seremban di sini, dikesan memilik pas media dari negara seberang dan dikesan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Nanda Maarof berkata, suspek berusia 34 tahun itu menjalankan kegiatan pecah cermin kereta bersama isterinya berusia 30 tahun dengan penglibatan lima lagi rakan senegara.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek utama iaitu lelaki warga Indonesia itu menemui identiti pas media Indonesia, namun kita masih menyiasat sama ada pas itu tulen atau tidak.

“Hasil risikan dan intipan pada 17 Februari lalu, pihak polis berjaya menahan pasangan suami isteri warga Indonesia tersebut yang merupakan suspek utama dan hasil soal siasat membawa kepada penangkapan lima lagi suspek warga negara sama pada Ahad lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Nanda, lima suspek itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berusia 26 hingga 43 tahun yang mana kesemuanya ditahan di Jalan Reko, Kajang, Selangor.

“Modus operandi mereka ialah suspek pasangan suami isteri itu akan bertindak memecahkan cermin segi tiga di belakang kenderaan menggunakan alat palam pencucuh sebelum melarikan barang berharga.

“Kemudian mereka akan menyerahkan barang dicuri kepada lima lagi suspek yang ditahan untuk digadaikan atau dijual bagi mendapatkan wang,” katanya.

Jelas Nanda, kumpulan tersebut menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan sunyi di sekitar bandar Seremban sejak Januari lalu dan hasil soal siasat suspek terlibat mengaku terlibat dalam tujuh kes di sekitar daerah ini.

“Jumlah keseluruhan kerugian barang kes dianggarkan bernilai RM33,700 dengan pelbagai barang rampasan termasuk sebuah Perodua Bezza yang disewa suspek, beg berjenama, jam tangan, barang kemas dan duit pelbagai mata wang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI