fbpx

Skandal dunia hiburan buat orang suka mengutuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BIASANYA kita barangkali separuh bersungguh, separuh terkejut, separuh lagi menyibuk apabila deria pendengaran dimasuki kisah-kisah kecurangan, hal-hal menuju perpisahan, perceraian, pengkhianatan mahupun pernikahan sensasi.

Jika bersangkut-paut dengan orang popular, lagilah semua perasaan itu bergelodak, mahukan penjelasan.

Semacam pelik tetapi hakikat, ketika kusut dan kelam berbolak-balik entah di mana kebenaran mahupun tokok-tambah, semakin deras pencerahan dan kesudahan yang hendak dituntut.

Fitrah-fitrah insaniah itulah yang menjadikan betapa naskhah fiksyen berkisarkan kecurangan, mentua kejam, menantu hantu, suami panas baran atau perempuan perampas pasti trending setiap kali masuk televisyen walaupun isunya sama sahaja dari zaman PJ Holding dahulukala.

Ibaratnya, buatlah filem atau drama elit macam-mana, tetaplah kisah ‘Mak Leha’ dan ‘Pak Samad’ juga yang kalian suka.

Ditambah pula realiti kehidupan segelintir orang popular, khususnya artis yang mudahnya terheret kisah gelintar kecurangan asbab khilaf dan godaan terbentang depan mata, seperti mematahkan pensil sahaja.

Menjadikan konflik mereka lebih drama, segalanya dibuktikan di mahkamah media sosial. Baik si mangsa, si pelaku, orang ketiga dan netizen, masing-masing sama naik mencurahkan minyak ke api, maraklah!

Si mangsa, pelaku dan pihak ketiga mengajak juri awam sama-sama terheret dalam kancah keadilan dan kebebasan bersuara. Sama-sama mewakafkan berat ‘catatan bahu kiri’.

Maka berdebatlah mereka, merayu simpati, menegakkan kebenaran, provokasi dan akhirmya berlakulah permohonan maaf secara terbuka. Itulah yang berulang-ulang, ‘sampai abang Jamil mampus’.

Ada kes yang mudah ‘menang’. Seperti dalam konflik Hafiz Roshdi dan isterinya Shuhada seperti sudah menemui jalan damai apabila si orang ketiga tampil meminta maaf.

Ada juga kes yang belum bertemu kata hukum seperti Shuk Sahar dan Rossa Sera.

Tidak terkecuali drama paling dramatik suku pertama 2023 dengan jerat cinta dan air mata anak menantu Datuk Yusof Haslam.

Kes-kes kecurangan biasanya jarang berlaku dalam waktu singkat, kecuali seperti berlaku kepada Aliff Aziz dan Sophia AlBarakbah. Terjatuh suka dan terjebak cinta lokasi hanyalah seketika. Selalu sangat berlaku.

Sebenarnya jarang persoalan yang diungkitkan media tiada kebenaran, cuma kesahihannya sahaja memerlukan masa. Ada juga yang harus media simpan setidaknya yang paling aib dapat terjaga.

Peliknya, jika kisah sebegitu dijadikan laporan dalam ruangan hiburan, media pula dikutuk, dituduh jaja cerita sampah.

Sebenarnya, selain ada artis yang suka buka pekung di dada, ramai lagi yang pura-pura bijaksana, kononnya terlajak intelek pula pemikirannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI