PETALING JAYA – Sama seperti wanita yang lain sudah berkahwin apatah lagi pernah mengalami keguguran sekitar tahun lalu, pelakon dan pengacara Zulin Aziz mengimpikan untuk memiliki cahaya mata sendiri selepas genap setahun mendirikan rumah tangga.
Luahan tersebut diungkap selebriti berusia 34 tahun itu menerusi perkongsian Instagram sempena menyambut ulang tahun perkahwinan pertamanya bersama suami, Farhan Norzaini.
“Jika tak keberatan, doakan semoga kami dikurniakan zuriat. Semoga doa-doa kita diperkenankan, amin Ya Rabb,” tulisnya.
Dalam perkongsian istimewa tersebut, pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu berkata, usia setahun perkahwinan yang dibina bersama suami merupakan fasa mereka mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam.
“Setahun usia perkahwinan mengajar kita tentang mengenali satu sama lain. Menerima kurang lebih setiap dari kita. Memahami, terbiasa.
“Bawa ke tahun-tahun seterusnya. Makin lama makin cinta. Kita sederhana tapi bahagia. Syukur Ya Allah,” titipnya sambil meluahkan rasa cinta dan berdoa agar kekal selamanya bersama suami tersayang.
Luahan sayu pelakon yang juga bekas penyampai radio Suria FM itu mengundang komen peminat apabila rata-ratanya memberi sokongan agar doanya dimakbulkan kelak.
“Buat pejuang garis dua (golongan wanita yang berusaha mendapatkan zuriat), semoga dikurniakan zuriat pada tahun ini, amin,” komen seorang pengikutnya.
“Selamat ulang tahun perkahwinan babe. Semoga kekal bahagia hingga ke syurga dan saya doakan awak dikurniakan rezeki anak yang ramai selepas ini, amin,” titip rakan penyanyi, Idayu.
Sebelum ini, Zulin pernah meluahkan rasa berang sehingga hilang sabar dengan sikap netizen yang terus-menerus mendesak dirinya berhubung soal zuriat.
Menjawab pertanyaan tentang desakan tersebut, pelakon itu sekitar hujung September tahun lalu mendedahkan dia sebenarnya baru sahaja mengalami keguguran sebulan sebelum itu (Ogos).
Untuk info, Zulin mendirikan rumah tangga bersama Farhan yang juga rakan kongsi perniagaannya dengan sekali lafaz pada 20 Februri tahun lalu selepas dua tahun mengenali hati budi. – KOSMO! ONLINE