PETALING JAYA – Menginjak ke usia 43 tahun, aktor berkaliber Beto Kusyairy hanya ingin menghabiskan hidupnya dengan menghasilkan memori indah bersama orang tersayang.
Baginya, setiap masa yang diberikan Tuhan pada ketika ini tidak seharusnya disia-siakan dan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya memandangkan kematian boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
“Dari sudut kehidupan, saya susah malas nak beratkan kepala dengan benda tidak sepatutnya dan cuma nak habiskan masa dengan insan yang menghargai serta saling menyayangi.
“Sebab ramai orang keliling saya sebelum ini sudah ‘pergi’ pada usia yang muda dan tidak sempat nak lakukan banyak perkara.
“Perkara tersebut mengajar saya untuk lebih hargai momen indah dengan orang tersayang,” katanya kepada Kosmo! Online selepas tayangan perdana filem Imaginur, di sini semalam.
Tambahnya yang terkenal menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, usia yang semakin bertambah turut mengingatkannya bahawa seorang pelakon juga tidak akan selamanya berada pada fasa kegemilangan seperti yang dikecapinya hari ini.
Malah, Beto juga berpendapat karier seseorang pelakon mempunyai jangka hayat tertentu dan tidak selamanya berada di puncak kerjaya.
“Mengenai karier, pelakon juga ada jangka hayat, sampai masa ada tarikh luput.
“Memang kena terima realiti tersebut dan saya ketika ini hanya ikut arah yang Tuhan tentukan.
“Apa pun, saya akan tetap berikan sehabis baik selagi ada yang masih sudi melihat lakonan saya,” kata pemilik nama penuh Nur Kusyairy Zakuan Osman berkenaan.
Selain Beto, Imaginur arahan Nik Amir Mustapha itu turut dibintangi oleh Diana Danielle, Datuk Rahim Razali, Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar dan Datuk Afdlin Shauki.
Filem berkenaan akan menemui penonton pada 23 Februari ini. – KOSMO! ONLINE