PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berharap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat disiapkan mengikut jadual.
Beliau dalam nada optimis berkata, jumlah lima buah kapal berkenaan adalah sesuai berdasarkan peruntukan ditetapkan kerajaan dan sepatutnya tiada masalah pun.
“Sebenarnya saya pernah bimbang kerana tengok sebelum ini dirancang enam, tetapi jangan pula akan kurang lagi kepada tiga atau empat sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Ekonomi di sini hari ini.
Isu projek LCS yang lewat disiapkan pernah dijadikan teguran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan menyaran enam syor tindakan untuk dilaksanakan kerajaan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau pada mulanya terkejut apabila diberitahu hanya lima kapal boleh disiapkan dengan bajet terdahulu, namun bersyukur ia masih munasabah.
“Saya ingat dulu kita langsung tak mampu buat lima LCS ini, tetapi pihak kerajaan komited dan yakin ia tetap berita baik kepada TLDM kerana keperluan amat mendesak,” katanya. – KOSMO! ONLINE