fbpx

Pengurus pemasaran buat tuntutan palsu RM2 juta direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah membenarkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah hampir RM2 juta.

PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang merupakan bekas pengurus pemasaran di sebuah universiti swasta direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Februari depan bagi membantu siasatan selepas disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM2 juta.

Perintah reman selama tujuh hari itu dikeluarkan terhadap suspek oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini.

Menurut sumber, suspek dan isterinya yang masing-masing berusia 40-an telah ditahan SPRM ketika hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi semalam.

“Pasangan suami isteri itu ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran komisen sebuah program merekrut pelajar sekolah menengah untuk melanjutkan pengajian di sebuah universiti swasta berjumlah hampir RM2 juta.

“Suspek lelaki itu disyaki bersubahat bersama isterinya yang juga seorang suri rumah melakukan tuntutan palsu tersebut sekitar tahun 2015 hingga 2020,” katanya hari ini.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, isteri kepada suspek lelaki itu kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya diambil pihak suruhanjaya tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI