LANSING, MICHIGAN – Seorang pembunuh kanibal mengakui memasak dan makan kemaluan mangsanya serta merancang menggunakan darah dan tulang lelaki tersebut untuk menyuburkan tanaman, lapor akhbar Daily Star semalam.
Menurut penyiasat, Mark Latunski, 52, mencacatkan mayat mangsa, Kevin Bacon, 25, dalam keadaan lelaki itu digantung terbalik di bilik bawah tanah rumahnya sebelum memotong tekaknya.
Kevin sebelum itu dikatakan bersetuju bertemu Latunski pada malam sambutan Krismas tahun 2019 selepas mereka berkenalan menerusi satu aplikasi untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Kevin kemudian membuat perjalanan sejauh 32 kilometer (km) untuk bertemu Mark di negeri Michigan, Amerika Syarikat.
Kehilangan Kevin disedari selepas dia gagal hadir ke majlis makan malam Krismas bersama keluarganya pada keesokan harinya.
Selepas mencari selama tiga hari, polis menemui kereta Kevin ditinggalkan 8 km dari rumah suspek yang turut mengandungi telefon bimbit serta dompet miliknya.
Sejurus tiba di rumah Mark, lelaki tersebut dengan tenang menunjukkan tempat dia menyembunyikan mayat Kevin.
Apabila ditanya, Mark mendakwa Kevin menyuruh dia membunuhnya justeru, lelaki berkenaan menikam leher mangsa.
Mark turut memberitahu penyiasat bahawa dia mahu menggunakan bahagian badan Kevin, darah dan tulangnya untuk menyuburkan tumbuhan di taman rumahnya.
Mark dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol kerana merancang pembunuhan Kevin. – Agensi