PETALING JAYA – Tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memperkenal perkhidmatan bas percuma kepada Ahli Parlimen, pegawai bertugas dan pengamal media menerima pujian pengguna media sosial.
Melalui hantaran gambar di laman Facebook Anthony Loke menaiki bas percuma untuk ke Parlimen pagi ini, dipuji masyarakat di media sosial dengan menyatakan tindakan Menteri Pengangkutan itu wajar dicontohi semua pihak.
“Selamat pagi. Saya sedang naik bas T851 ke Parlimen untuk menjawab soalan bus feeder di Dewan Rakyat,” kata Anthony Loke.
Rata-rata pengguna media sosial yang menjengah ke ruangan komen Anthony Loke berkata, melalui perkhidmatan itu kerajaan juga dapat menjimatkan kos dan memudahkan urusan banyak pihak.
“Jimat ‘escort’ polis di jalan raya yang tidak membawa manfaat kepada pengguna jalan raya yang lain. Kalau Yang Berhormat lain semua boleh ikut, bagus lah,” kata James.
“Terbaik. Tempat pemimpin tertinggi negara mesyuarat untuk menyelesaikan masalah negara dan rakyat, di samping memajukan negara kita yang selama ini tidak dapat menyelesaikan masalah ‘parking’ di tempat mesyuarat sendiri akhirnya ada juga pemimpin yang mengambil langkah untuk cuba menyelesaikan masalah ini,” ujar Patrik.
“Terbaik YB Loke, Jadi tauladan pada semua pemimpin yang lain, seorang yang bijak dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai pemimpin,” kata Norzilan. – KOSMO! ONLINE