KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu (THT) mudah mengatasi ATM 5-1 pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini sebentar tadi.
Kemenangan bergaya itu membolehkan THT merampas takhta liga walaupun mungkin buat seketika kerana pendahulu, Maybank hanya akan beraksi menentang Nurinsafi Sporting pada sebelah malam.
THT membuka tirai jaringan melalui pukulan sudut penalti pakar flick Korea Selatan, Jang Jonghyun pada minit kelima sebelum Shahrin Izzuddin Shamsuri melebarkan kelebihan pada enam minit kemudian.
Kem tuan rumah terus ceria apabila pemain kebangsaan, Shello Silverius, berjaya memperdaya penjaga gol lawan untuk mudah menolak masuk gol ketiga THT pada minit ke-28.
Ketinggalan 0-3, ATM cuba merapatkan jurang menerusi tindakan susulan Amirul Hanis Abdul Aziz (m-37) berpunca gerakan sudut penalti namun gagal mencipta kebangkitan pelawat.
THT sebaliknya semakin garang setelah Shello menyambar hantaran Arif Syafie Ishak dari tengah padang pada minit ke-55 untuk menjadikan kedudukan selesa 4-1.
Ketua pasukan, Mohd. Fitri Saari melengkapkan kemenangan bergaya hasil pukulan kencang pada minit ke-58 sekaligus memastikan tiga mata mutlak menjadi milik THT. – KOSMO! ONLINE